Pacuan empat roda Mitsubishi Triton dinaiki Mohd Latip sekeluarga hampir putus dua selepas bertembung dengan lori tangki minyak dalam nahas tragik di Kilometer 150.8 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Cheneh Baru, petang kelmarin
KEMAMAN – Hasrat seorang pengurus ladang kelapa sawit dari Chini, Pahang untuk beraya di rumah rakan lama di Bandar Seri Bandi, Kijal, tidak kesampaian apabila dia maut bersama anak berusia empat tahun, sementara isterinya pula parah dalam nahas tragik, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Mohd Latip Abu Bakar, 37 dan anak lelakinya, Muhammad Rayyan maut serta-merta di tempat kejadian selepas pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 150.8 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Cheneh Baru, dekat sini.
Lori tangki minyak turut remuk menyebabkan pemandunya tersepit di tempat duduk
Akibat pertembungan kuat itu, Mohd Latip yang memandu Mitsubishi Triton tersepit di tempat duduk, manakala anaknya pula tercampak ke hadapan kenderaan menyebabkan kedua-duanya cedera parah di kepala dan badan.
Mohd Latip yang beralamat di Kampung Parit Buaya, Johor, meninggal dunia di sisi isterinya, Rohaini Pengis, 29, yang mengerang kesakitan apabila patah kedua-dua kaki, selain mengalami pendarahan pada badan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori tangki minyak tanpa muatan dipandu N Krishnan, 41, hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar secara berdepan dengan pacuan empat roda dinaiki mereka.“Akibat pertembungan itu, pemandu lori yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan terbabit turut tercedera dan tersepit di tempat duduk,” katanya.
Susulan itu, Rohani yang berasal dari Kampung Keluru Jaya, Bekenu, Sarawak dan Krishnan dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.
Mayat dua beranak itu juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan remuk teruk dengan tayar hadapan lori tangki turut tercabut.
10 minit keluar mangsa
Terdahulu, dua mangsa tersepit dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru yang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.
Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membantu mengeluarkan mangsa tersepit di sebalik sisa kenderaan yang remuk.
Mayat kedua-dua beranak itu dituntut keluarga sebelah Mohd Latip yang datang dari Kuala Lumpur, kira-kira jam 10 malam.
Difahamkan, Mohd Latip dan isteri mempunyai seorang lagi anak perempuan, bagaimanapun anaknya itu tidak dibawa bersama ketika kejadian.
Mohd Latip sebelum bekerja di ladang sawit Chini, pernah bekerja di ladang kelapa sawit di Bandar Seri Bandi.
Jadi sempena cuti Hari Raya Korban, Mohd Latip merancang untuk menziarahi dan beraya di rumah rakan-rakan lamanya yang tinggal di ladang tersebut.
Beberapa rakan lama mangsa dari Bandar Seri Bandi yang terkejut dengan kejadian menimpa keluarga itu, turut datang ke tempat kejadian.
Jalan Jerangau-Jabor laluan maut
Dalam pada itu, kemalangan ngeri melibatkan tiga beranak terbabit turut menarik perhatian penduduk setempat yang mengerumuni lokasi kejadian untuk melihat keadaan kedua-dua kenderaan.
Penduduk, Zakaria Tusin, 55, berkata, laluan itu sering berlaku kemalangan meragut nyawa.“Sepanjang laluan Jerangau-Jabor terutama berdekatan Bandar Cheneh Baru, memang kerap berlaku kemalangan maut.
Nahas ini berlaku kerana banyak sebab. Selain masalah teknikal, kerosakan jalan juga menyumbang kepada berlakunya kemalangan.“Jadi pihak berkaitan diharap dapat membaiki kerosakan jalan itu segera bagi mengurangkan risiko kemalangan. Manakala, pemandu pula perlu berwaspada dan tidak memandu laju.
Saya sarankan papan tanda amaran turut ditambah di sepanjang laluan itu bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya,” katanya.
عين ازال للعطورات
3 years ago
0 comments:
Post a Comment