Hatta Dolmat, seorang pereka fesyen tidak asing dikalangan peminat yang mengenali rekaan pereka ini kerana sering menjadi pilihan selebriti tempatan. Label ini telah berkolaborasi dengan satu lagi label yang cukup lama bertapak di negara ini khususnya dalam dunia peruncitan bagi pakaian ready-to-wear buat kaum muslimah di Malaysia iaitu First Lady.
Seleksi 15 variasi rekaan dalam pilihan rona yang pelbagai mencukupkan kesemua 45 helaian berbeza dalam himpunan HattaRTW bersama First Lady tersebut. Persembahan peragaan fesyen himpunan ready-to-wear pertama dihasilkan Hatta ini telah berlangsung pada 29 Jun lepas di Nusantara Ballroom, Hotel Sheraton Kuala Lumpur.
Ketika ditemui sebaik berakhirnya persembahan peragaan fesyen tersebut, Hatta menyatakan perasaan terujanya untuk berkongsi kegembiraan pada hari raya bila himpunan yang mampu dimiliki semua itu dapat direalisasi seperti yang direncanakannya bersama First Lady.
"Saya tidak mampu menghasilkan koleksi ready-to-wear dalam skala besar seperti ini tanpa bantuan First Lady. Kolaborasi ini sekaligus dapat memberi peluang kepada semua memiliki HattaRTW dengan harga serendah RM 275 hingga RM295.
"Sebelum ini Hatta Dolmat Couture pernah tampil dengan koleksi khas sempena Aidilfitri tetapi ia terhad dan masih dalam kategori made-to-measure. Jadi harga yang ditawarkan juga tidak sama dengan HattaRTW bersama First Lady.
"First Lady menjadi antara peneraju dalam perniagaan fesyen khususnya ready-to-wear untuk muslimah di Malaysia. Ia telah meyakinkan saya untuk bersama-sama menjayakan kolaborasi yang istimewa ini ini,"jelasnya yang tidak sabar menanti reaksi umum apabila HattaRTW bakal dipasarkan tidak lama lagi.
Bagi mereka yang berada di Lembah Kelang khususnya anda boleh memiliki HattaRTW dengan mengunjungi Hotel Sheraton pada 6-7 Julai ini dimana HattaRTW akan membuka showroomnya di situ.
Usah gusar mengenai pilihan atau saiz yang menjadi kriteria utama keselesaan si pemakai kerana anda boleh mencuba sendiri pada dua hari berkenaan. Bagi mereka yang terlepas peluang ini anda masih berpeluang memiliki HattaRTW melalui butik First Lady terpilih serta laman shopping online, Zalora bermula 8 Julai.
Untuk mereka yang berada di luar dari Lembah Klang, butik First Lady terpilih akan mula memasarkan HattaRTW mulai 6 Julai ini. Antara lokasi yang terpilih adalah Singapura, Johor Bahru, Melaka, Taiping dan beberapa lagi lokasi butik First Lady yang ada di negara ini.
عين ازال للعطورات
3 years ago
0 comments:
Post a Comment