translate

pengunjung

Powered by Blogger.
RSS

NOMAD YANG PORPULAR DENGAN LAGU TETAP MENANTIMU TINGGALKAN BADMINTON


SEBAIK sahaja melihat cara permainan Nomad, beberapa rakan media yang menunggu giliran untuk bermain, terus mengangkat bendera putih tanda tidak sanggup untuk berbalas pukulan bulu tangkis dengannya.
Itu baharu melihat Nomad membuat sesi memanaskan badan bersama empat orang adiknya, belum lagi melihat penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu itu bermain. Untuk mengelak malu, rakan-rakan media lebih senang bermain badminton sesama sendiri.
Jangan tak tahu, Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd. Alieff Ayub, 25, sebelum berkecimpung dalam bidang seni adalah seorang pemain badminton yang sering mewakili sekolah dalam pertandingan.
“Saya mula pegang raket waktu usia enam tahun sebab ikut abah yang sering menjalani latihan badminton dengan pasukan polis Terengganu. Saya mula menyertai pertandingan ketika usia sembilan tahun.
“Pernahlah jadi wakil sekolah sampai peringkat Majlis Sukan Sekolah Terengganu. Saya tidak ada jurulatih khas, selain abah (Ayub Salim, 53).
“Saya serius dalam sukan badminton sehingga usia 18 tahun sebelum mengambil keputusan untuk beralih arah, ketika saya belajar di Kolej Islam Antarabangsa, Gombak," ceritanya sewaktu ditemui di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang badminton, Nomad yang pernah mengikuti klinik badminton yang dibimbing oleh Datuk Misbun Sidek berkata, dia dan adik- beradiknya tidak dapat dipisahkan daripada sukan badminton.
“Adik-adik saya semuanya aktif badminton, wakil sekolah dan negara. Saya sendiri kalau masih serius, mungkin juga akan jadi seperti mereka.
“Sekarang ini walaupun tidak menjadikan badminton keutamaan tetapi sukan itu tidak dapat dipisahkan daripada saya.
“Setiap malam Isnin, Rabu dan Jumaat, kami adik-beradik dan rakan-rakan akan bermain badminton di Petaling Jaya. Begitu juga kalau ada pertandingan, saya akan pastikan berpeluang untuk menyertainya," katanya.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, adiknya, Nur Mohd. Azriyn, 20, adalah pemain badminton kebangsaan, sementara Nur Mohd. Haqiem, 22, Nur Mohd. Haikal, 15,dan Nur Mohd. Harris, 7, masing-masing mewakili syarikat dan sekolah, termasuklah seorang lagi adiknya, Nur Mohd. Aqasyah, 11. Nomad berkata, di satu sudut rumahnya penuh dengan medal kemenangan mereka adik-beradik.
“Mama (Noor Hashikin Hassan, 46), menyediakan satu sudut untuk meletakkan medal kemenangan kami di rumah. Tiap kali melihat medal-medal itu, kami akan menyindir antara satu sama lain, sebab masing-masing akan berlagak dengan kemenangan yang diraih.
“Antara saya dengan adik-adik tidak ada batasan, sebab itulah mereka tak takut dengan saya, melainkan Harris. Hubungan kami seperti kawan dan sebab itulah kalau semua ada di rumah, mama pening kepala. Bising tak payah nak cakaplah, sebab kami semua suka usik Harris bagi dia menangis," ceritanya.
Kata penyanyi kelahiran Besut, Terengganu itu, hidupnya sejak dulu hanyalah belajar dan bermain badminton, kini ditambah pula bidang seni.
“Saya mula minat seni sejak di kolej dan sering menyertai pelbagai pertandingan program realiti. Namun, saya tidak berjaya di peringkat awal, selain rancangan Keynote, saya dapat menjadi peserta.
“Sewaktu saya beritahu abah yang saya nak ceburi seni, abah tak mengizinkan, sebab dia tak nampak bidang seni mempunyai masa depan. Malah kegagalan saya mendapat tempat dalam uji bakat program realiti juga pernah membuatkan saya berundur. Namun, alhamdulillah sekarang ini pilihan saya mendapat restu keluarga," ujarnya.
Biarpun namanya semakin melonjak dalam bidang seni suara, namun kata Nomad, sukan badminton tetap tidak dapat dipisahkan daripadanya.
PERJALANAN anak muda ini tidak semudah yang disangka. Percaturannya sejak mula menceburi bidang seni sekitar tahun 2007 bagaikan tidak 'menjadi' apabila namanya masih belum memuncak seperti anak seni lain.
Kekurangan yang sudah dikenal pasti ditampung sedikit demi sedikit untuk melancarkan perjalanannya. Bagi Nomad tidak ada apa yang dia mahukan selain mahu memperkasa ilmu di dada dan terus menghasilkan karya bermutu.
Biarpun jalan yang dilalui sedikit jauh namun itu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus menabur bakti. Dia tidak putus asa biarpun namanya baru sahaja dikenali oleh para peminat sejak menghasilkan lagu Tetap Menantimu yang dijadikan single pertama.
"Saya sudah menceburi bidang muzik sejak tahun 2007. Meskipun begitu nama saya tak seperti orang lain sehinggalah saya menjadi peserta rancangan Key Note yang ditayangkan selepas sekitar tahun 2010.
"Mungkin rezeki saya masih belum ada ketika itu. Saya tak kisah pun nak tunggu selama mana sebab saya dah bulatkan tekad untuk terus menjadi ahli muzik dulu-dulu lagi.
"Dulu memang keluarga pernah halang minat saya ini. Mereka risau jika kerjaya saya dalam bidang muzik tak ke mana.
"Kalau nak ikutkan semua adik beradik saya yang lain terlibat dalam sukan badminton. Hanya saya sahaja yang terkeluar dari lingkungan itu.
"Tapi sekarang nampaknya mereka dah boleh terima dan beri dorongan pada saya. Itu dah cukup baik dan boleh buat azimat untuk saya terus kejar cita-cita," kata Nomad lagi.
Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd. Alieff Ayub tidak menyangka akan dipertemukan dengan Tam Spider sedikit masa lalu. Pertemuan tanpa dirancang tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila vokalis kumpulan Spider itu sudi menjadikannya sebagai anak didik.
Tidak mahu terlalu selesa dibuai perasaan gembira, Nomad tahu Tam meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada dirinya.
Perasaan gugup dan sedikit gementar dek kerana perkara itu cuba dibuang jauh-jauh. Meskipun sudah mengakui awal-awal yang dia masih belum mampu menjadi seperti apa yang Tam harapkan, dia sebenarnya tahu ini adalah proses biasa yang perlu dilalui.
"Memang Tam menetapkan jalan dan syarat untuk saya menjadi "sesuatu" di dalam industri. Dia meletakkan harapan mungkin setinggi gunung tapi saya takut tak tercapai.
"Tak mengapa sebab ini merupakan proses pembelajaran dan saya sedia menghadapinya. Saya yakin dengan keikhlasan, usaha dan tawakal akan mengubah perjalanan hidup kita.
"Setidak-tidaknya saya tak boleh melepaskan peluang sebegini. Ini cita-cita saya dan ini juga yang akan saya buru sampai bila-bila," katanya.
Cerita lelaki yang berusia 25 tahun ini lagi, dia sebenarnya tidak mudah berputus asa. Sedar kadang kala sikapnya itu memberikan pelbagai persepsi pada orang lain namun Nomad tidak mengalah.
Selepas menyertai program Key Note, dia juga sudah menghadiri empat kali uji bakat untuk menyertai program Mentor dan Akademi Fantasia sedikit masa lalu.
Bukan dia tidak layak menyertai program realiti berkenaan tetapi mungkin tiada rezeki buatnya sahaja walaupun sudah melepasi beberapa peringkat akhir pemilihan.
Mungkin rezekinya tidak pada program-program tersebut tetapi dia tetap dilimpahkan rezeki seperti yang berlaku sekarang. Sambil menganggap perjalanan yang dilalui selama ini bukan mudah untuk Nomad yakin ada sinar buat dirinya.
"Banyak pengalaman saya kutip selama ini. Sama ada manis atau tidak itu semua pelajaran yang berguna buat saya. Pernah juga saya hanya diberi pisang sebagai bayaran menyanyi.
"Saya anggap itu bukan penamat segala-galanya walaupun perkara berkenaan cukup memalukan. Sudahlah kita datang jauh-jauh dan mereka hanya beri pisang sebagai bayaran.
"Kalau tak kuat semangat mungkin saya sudah cari kerja lain. Kita perlu cari apa yang kita mahu dalam hidup dan berjumpa dengan orang yang betul. Insya-Allah sesiapa sahaja akan berjaya nanti," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives

Followers

Popular Posts