translate

pengunjung

Powered by Blogger.
RSS

Pegawai bank mati ditembak pengawal keselamatan:- (Suami minta henti sebar gambar kematian Norazita)

Seorang pegawai bank maut selepas ditembak di bahagian muka oleh pengawal keselamatan bank itu sendiri yang merompak bank berkenaan di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya hari ini. 
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 6.18 petang itu, Noazita Abu Talib, 37, ditembak oleh suspek ketika wanita itu membuka peti besi di bilik kebal bersama-sama seorang lagi pegawai bank. 
"Suspek menembak mangsa sebelum melarikan wang tersebut. Kami kini memburu suspek yang melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam ini. Beliau berkata Noazita sudah bekerja 16 tahun di bank itu dan ketika kejadian mangsa sedang bertugas bersama empat lagi rakan sekerja wanita. 
Menurut Abdul Rahim suspek sebenarnya bertugas di bank lain namun hari ini dia menggantikan pengawal keselamatan bank itu yang tidak datang bekerja. 
Difahamkan suspek yang menggunakan nama Ardi Hamza, 37, tidak mempunyai rekod jenayah dan pernah beberapa kali bertugas di bank itu, menggantikan pengawal keselamatan lain. "Hasil siasatan mendapati kad pengenalan yang digunakan suspek tidak wujud dalam sistem. 
Polis akan menyiasat perkara ini dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya. Abdul Rahim berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek melakukan jenayah tanpa memakai topeng muka dan melarikan diri menerusi pintu hadapan.

Suami minta henti sebar gambar kematian Norazita
tembak pegawai Ambank
Suami mangsa, Irwan Kamarudin mententeramkan anak bongsunya, Muhd Hazimy ketika menunggu mayat isterinya dibedah siasat.

Suami kepada pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, yang ditembak mati dalam kes rompak dan bunuh semalam, meminta semua pihak memadam dan menghentikan sebaran gambar dan video kematian isterinya demi menghormati sensitiviti keluarga.
Irwan Kamarudin, 37, berkata penyebaran gambar itu akan lebih menyedihkan keluarga kerana gambar itu memperlihatkan keadaan tidak elok mangsa.
"Saya harap semua dapat memadamkan gambar dan video insiden kematian isteri saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini selepas pengebumian isterinya di kampung halaman Allahyarham di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.
Norazita, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank itu sendiri selepas Norazita membuka pintu bilik kebal bank itu di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya, semalam.
Susulan kejadian, gambar dan rakaman video selama 32 saat tentang kejadian itu tersebar dalam laman Facebook hari ini.
Pagi ini, Irwan bersama dua anaknya, Nurnisa Nabilah, 12, Muhd Hazimy, 8, serta saudara maranya hadir di Bilik Mayat Hospital Serdang untuk pengecaman mayat isterinya.
Suasana pilu menyelubungi bilik mayat itu dengan Irwan cuba ditenangkan anggota keluarganya sambil menangis setelah beliau membuat pengecaman jenazah isterinya.
Malah mereka menunggu sehingga 2 petang sehingga laporan bedah siasat selesai dijalankan dan menuntut jenazah untuk dikebumikan.
Nurnisa Nabilah berkata, kebiasaannya ibunya akan menghantar dia dan adiknya ke sekolah namun semalam, disebabkan kesibukan kerja, ayahnya terpaksa menghantar mereka ke Sekolah Kebangsaan Subang Bestari, Subang, di sini.
"Dalam 7.30 malam saya terima panggilan dari mak saudara cakap mama dah tiada," katanya.
Sementara itu, pengurus bank berkenaan Lyonel Tan berkata kejadian ini pertama kali berlaku di bank berkenaan.
"Arwah merupakan seorang pekerja yang rajin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan urusan penting seperti khidmat pelanggan," katanya.
Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Norazita.
"Bagi pihak Kumpulan AmBank, kami ingin merakamkan ucapan takziah, doa dan ingatan kali buat keluarga Allahyarham di saat yang begitu sukar ini," katanya menerusi satu kenyataan.
Kumpulan AmBank bekerjasama rapat dengan polis dalam siasatan kejadian itu dan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan kepada anggota keluarga Allahyarham.

Di KAMPAR, jenazah Norazita selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ayer Hitam Labu di sini pada pukul 7.30 malam ini.
Jenazah dibawa pulang ke rumah keluarganya kira-kira pukul 6.55 petang dari Hospital Serdang, Selangor sebelum dikebumikan bagi memberi peluang anggota keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung menziarahi jenazah.
Bapa Allahyarham, Abu Talib Mohd Isa, 75, yang ditemui di rumahnya berkata beliau dan keluarga reda dengan pemergian anak keduanya itu.
"Kali terakhir kami jumpanya pada hari raya korban lepas. Dia juga sempat jumpa adik beradik dan saudara mara," katanya yang mempunyai lima anak.
Ditanya mengenai dua anak Norazita, Abu Talib berkata isterinya Norsham Abdul Kader, 63, akan berada di rumah anaknya di Kuala Lumpur untuk menjaga cucu mereka sehingga hujung tahun ini.
Mengenai tindakan yang akan diambil berhubung pembunuhan anaknya itu, Abu Talib menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.
"Kita sepatutnya mempunyai sifat seperti manusia lah. Kalau nak rompak, rompak jer lah duit. Tapi jangan lah sampai membunuh," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives

Followers

Popular Posts