DARI seorang ahli bina badan, beliau menjadi Mr. Universe. Dari aktor biasa, beliau dipilih sebagai hero utama Hollywood. Malah dengan mudahnya beliau mendapat status warganegara Amerika Syarikat (AS) serta menyandang gelaran seorang gabenor di California, negeri yang dikatakan terbesar dan terkaya di AS. Kini, beliau dipilih pula menjadi editor untuk sebuah majalah kesihatan, Muscle & Fitness and Flex.
Melihat rentetan perjalanan hidupnya, tak ubah seperti naskhah di layar perak. Namun realitinya, Arnold Schwarzenegger atau lebih mesra disapa sebagai Arnie berjaya mengukir sejarah kegemilangan tersendiri di layar perak.
Sebelum bergelar bintang filem, aktor kelahiran Austria ini mencipta nama dalam arena bina badan sejak usianya 14 tahun dan berjaya mengumpul pelbagai gelaran iaitu Mr. Universe sebanyak lima kali, Mr. Olympia (7) dan Mr. World sekali.
Selepas kariernya sebagai ahli bina badan berakhir, Arnie mula menceburi dunia lakonan dengan filem pertamanya, Hercules In New York (1970). Namun, hasil lakonannya menerusi Conan The Barbarian (1982) telah meletakkan namanya di peta global, yang kemudian membuatkan dirinya menjadi pilihan utama watak bagi menerajui filem Terminator (1984).
Hero perkasa ini kemudiannya mula berjinak-jinak dalam dunia politik pada 1990 setelah namanya meniti di bibir George Bush ketika dia menjadi Pengerusi Majlis Sukan dan Kecergasan Fizikal Presiden.
Dia cuba mengintai peluang menceburi politik secara serius pada penghujung 1990-an di saat filem-filemnya dikatakan semakin malap.
Bintang filem ini kemudian dipilih menjadi gabenor baru California setelah memenangi pilihan raya negeri itu.
Kemenangannya itu membuatkan dia berikrar untuk bersara daripada dunia seni bagi membolehkannya memberikan tumpuan kepada politik.
“Kesibukan tugas sebagai Gabenor akan membuatkan saya tidak ada lagi masa untuk filem atau aktiviti seni lain, " kata Arnie pada sidang media pertamanya sebagai gabenor.
Arnie kemudiannya membuat kemunculan semula dalam bidang seni apabila membintangi filem The Last Stand dengan memegang watak sebagai Sheriff Ray Owens yang ditayangkan pada Januari lalu.
Filem ini adalah sebuah filem aksi yang menjadi filem Hollywood sulung arahan sutradara Korea Selatan, Kim Ji-Woon yang terkenal dengan filem The Good, The Bad, The Weird (2008) dan I Saw the Devil (2010).
Bagaimanapun, pengaruh dan aura Arnie masih lagi utuh apabila bekas gabenor itu akan membawa kembali watak popularnya, Terminator.
Walaupun sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan watak itu akan dijayakan oleh Vin Diesel. Namun segala khabar angin itu nampaknya tidak benar.
Awal tahun lalu, Arnie mengumumkan dia akan kembali membintangi Terminator 5 dan akan memulakan penggambaran awal tahun depan dan dijangka ditayangkan pada 2015.
Bintang filem aksi ini kembali membawa watak ikonik sebagai robot ‘Cyborg’ buat kali keempat.
“Saya gembira apabila pihak studio mahu saya berada dalam Terminator 5. Saya akan membawakan watak sebagai Terminator, dan akan memulakan penggambarannya mulai Januari depan,” katanya.
Dalam pada itu, Arnie juga akan kembali menerajui dua karakter ikonik yang pernah dibawakannya apabila dia bakal membawakan semula watak Conan The Barbarian dan Julius Benedict dalam sekuel Twins berjudul Triplets.
Gandingan dua ‘otai’
Selepas The Expendables 2, Arnie sekali lagi digandingkan dengan aktor berbadan sasa yang juga rakan baiknya, Sylvester Stallone menerusi filem Escape Plan yang akan mula ditayangkan pada 10 Oktober depan.
Filem aksi ngeri arahan Mikael Hafstrom ini menyusuri kisah seorang jurutera struktur, Ray Breslin (Sylvester Stallone) yang terpaksa menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah yang tidak dilakukannya.
Breslin dihantar ke penjara unik yang mempunyai kawalan keselamatan maksimum hasil rekaannya sendiri. Ketika berada dalam penjara, Breslin berusaha menganalisis setiap penjara yang mempunyai kawalan keselamatan tinggi yang membantunya meneruskan kelangsungan hidup sepanjang menjalani hukuman itu.
Bagaimanapun, Breslin berdepan cabaran terbesar melarikan diri dari penjara rekaannya kerana bangunan itu dibina dengan teknologi kalis bolos.
Pada waktu sama, dia juga perlu menghadapi warden penjara yang kejam Hobbs (Jim Caviezel) dan pengawal keselamatan yang korup (Vinnie Jones).
Namun Breslin bertuah apabila usaha untuk melarikan diri dari pusat tahanan itu mendapat bantuan daripada teman penjara, Emil Rottmayer (Arnold Schwarzenegger) yang bijak, rumit dan berjiwa besar.
0 comments:
Post a Comment