translate

pengunjung

Powered by Blogger.
RSS

Upah pelakon filem RM5,000 ibarat hina bakat seni


Kita beberapa kali geleng kepala tanda tidak percaya. Mustahil dan tidak mungkin pelakon filem dibayar RM5,000 sebagai upah. Pada kita, kalau itu jumlah bayaran untuk watak tambahan masuk akal juga, tetapi bila ia membabitkan pelakon utama, ia ibarat menghina bakat anak seni.
Perkara ini diluahkan sendiri pelakon yang mencipta nama. Pada awalnya, kita bergurau dengan berkata, sejak dikenali, pasti harga bayaran untuk berlakon filem semakin tinggi. Sebaik kita berkata begitu, dia terus buat muka dan menjelaskan, bertuah andai kata kita menjadi kenyataan, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

Setiap kali datang tawaran, sebut pasal upah pasti menyakitkan hatinya. Namun kerana suka dan minat, ada ketika dia terima tawaran itu.
Tidak mungkin dalam keadaan sekarang situasi sama masih berlaku. Sebelum ini ada juga pelakon mengadu kepada kita, antaranya Fahrin Ahmad dan Datuk AC Mizal membabitkan bayaran upah berlakon filem yang datang, tapi tanggapan kita ia hanya membabitkan seorang dua penerbit yang memang ‘kemut’ duit. Bagi pelakon yang ditawarkan berlakon filem dengan harga tidak masuk akal itu, nasib baik dia bijak dengan awal-awal sudah menolak. Namun, sekarang kita dengar ia seperti menjadi tanda harga kekal bagi pelakon filem dengan upah sangat rendah.

Kita mati-mati tidak mahu percaya, sebab rata-rata kita dengar sebelum ini pelakon popular menerima bayaran tinggi. Paling rendah pun pelakon utama dibayar RM25,000 untuk satu filem. Itupun untuk pelakon baru. Mereka yang punya nama dan A-List dibayar hingga mencecah RM120,000 untuk satu filem.

Patutlah sebelum ini beberapa pelakon pernah cakap dengan kita, daripada berlakon filem, baik mereka beraksi untuk drama.
Tempoh kerja kadangkala sama saja lamanya, tetapi bayaran drama lebih tinggi dan menarik. Bayangkan untuk kerja 15 hari mereka boleh dapat RM13,000. Jadi awak nilaikan sendiri betapa sedihnya menjadi pelakon filem di Malaysia.

Pada kita, bila upah serendah itu diberi kepada pelakon, bakat dicurahkan pun sesuai dengan bayaran diberi. Mahu kerja lebih-lebih, nak berkarya bagai nak rak pun tak kuasa rasanya. Waktu sama, kita dengar juga sekarang ini upah pengarah filem hanya RM10,000 sedangkan kalau hendak mengikut harga pasaran, bayaran untuk pengarah filem paling kurang RM100,000. Mereka yang sudah lama berkarya memang menjerut hati melihat upah mahu dibayar penerbit.
Disebabkan itu, muncul pengarah baru yang memang kemaruk nak mencipta nama walaupun tiada kemampuan. Mana tidaknya, kalau mengarah filem, ‘shot’ dan ‘angle’ kamera pun tak tahu.

Kesinambungan watak pun tak faham, jadi mutu filem pun setaraf rojak campur. Namun, sekurang-kurangnya rojak itu pengikat selera adalah pada kualiti kuahnya yang sedap, tapi kalau filem begitu alamatnya ke laut.

Sedihnya apabila industri kita menjadi begini, yang menjadi mangsa adalah penonton. Kasihan kepada penonton tempatan yang sanggup membayar sampai RM15 kerana termakan slogan, sokong filem tempatan, tetapi sebaik keluar panggung, masing-masing menyesal. Duit RM15 kalau guna beli rojak boleh makan berempat. Tidak hairan sambutan penonton terhadap filem tempatan semakin lesu. Mendengar perkembangan ini, kita hanya mampu berdoa semoga industri perfileman tempatan tidak bertukar status kepada industri kampung dek ketamakan penerbit pada tahap negara mencapai status negara maju pada tahun 2020.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives

Followers

Popular Posts