London: Chelsea, Manchester City dan Tottenham Hotspur berjaya melangkah ke pusingan keempat Piala Liga awal pagi semalam manakala Sunderland memulakan kempen tanpa Paolo Di Canio dengan mengalahkan Peterborough.
Pengurus Chelsea Jose Mourinho memberi peluang kepada Juan Mata yang jarang beraksi ketika menentang kelab divisyen tiga Swindon Town dan dia berjaya mencipta gerakan gol pembukaan pada minit ke-29 apabila bola sepakannya berjaya ditepis Wes Foderingham namun pantas ditolak masuk oleh Fernando Torres.
Enam minit kemudian Ramires menggandakan jaringan buat pasukan pelawat apabila berjaya menyempurnakan hantaran Torres untuk menewaskan Foderingham bagi kemenangan 2-0.
Ramires hanya beraksi sebagai pemain gantian menggantikan Marco van Ginkel yang mengalami kecederaan pada minit ke-10 bagaimanapun dia juga terpaksa dikeluarkan untuk memberi laluan kepada John Terry selepas tamat babak pertama.
“Kami semua tahu piala ini penting dan untuk mencatat kemenangan di tempat lawan dengan pasukan liga bawahan amat menyukarkan,” kata Torres.
“Bagi pemain yang tidak beraksi dalam beberapa perlawanan terakhir, ia persembahan yang baik. Semua gembira. Ia satu langkah yang bagus.” City yang masih segar dengan kemenangan 4-1 dalam pertembungan setempat dengan Manchester United Ahad lalu mudah meratah pasukan yang menumpaskan mereka pada final Piala FA musim lalu Wigan Athletic 5-0 di gelanggang sendiri.
Dengan Micah Richards kembali selepas pulih daripada kecederaan, City mengambil masa selama 33 minit untuk mendahului apabila Edin Dzeko menyempurnakan hantaran Fernandinho.
Penyerang Montenegro, Stevan Jovetic memperoleh gol pertamanya untuk kelab sebelum Yaya Toure melakukan sepakan percuma menarik bagi mengumpul gol ketiga musim ini ketika permainan berbaki 14 minit.
Jovetic menambah gol keempat dengan Jesus Navas juga mencetak nama sebagai penjaring bagi merekod gol pertama bersama kelab barunya itu.
Jermain Defoe pula meledak dua gol bagi membantu Tottenham meraih kemenangan selesa 4-0 menentang pasukan pencabar Liga Perdana, Aston Villa dengan pemain baru Paulinho dan Nacer Chadli juga turut menyumbang gol.
0 comments:
Post a Comment