Madrid: Pedro Rodriguez meledak hatrik membantu Barcelona mengekalkan rekod 100 peratus pada permulaan kempen La Liga menerusi kemenangan selesa 4-0 ke atas Rayo Vallecano, awal pagi semalam.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu menghadiahkan pasukan pelawat permulaan cemerlang apabila merembat masuk selepas sentuhan hebat Lionel Messi pada minit ke-30.
Namun, seperti beberapa minggu terakhir, Barca terpaksa bergantung kepada kehebatan penjaga gol Victor Valdes yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti buat perlawanan kedua berturut-turut kali ini menampan sepakan Roberto Trashorras 10 minit sebelum rehat.
Pedro menambah gol kedua tidak sampai dua minit pada babak kedua sebelum melengkapkan hatriknya 13 minit sebelum tamat.
Cesc Fabregas kemudiannya menyempurnakan malam gemilang buat anak buah Gerardo Martino dengan penamat menakjubkan dua minit kemudian.
“Kami sedar Vallecas tempat yang sukar. Pasukan mereka kompetitif tapi kami mampu mencari ruang dan menjaringkan gol,” kata Pedro.
“Saya gembira dengan keseluruhan kerja sepasukan. Secara peribadi sudah tentu saya turut gembira tapi saya perlu berterima kasih kepada rakan sepasukan,” katanya selepas mendapat umpanan baik Messi, Neymar dan Fabregas.
Atletico Madrid turut mengekalkan rekod 100 peratus setakat ini musim ini apabila gol babak kedua daripada Raul Garcia dan Diego Costa membolehkan mereka menang 2-0 ke atas Valladolid di gelanggang lawan.
0 comments:
Post a Comment