London: Arsenal membuktikan keazaman mereka untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana musim ini apabila meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan Stoke City 3-1 di Stadium Emirates malam tadi.
Penguasaan skuad kendalian Arsene Wenger itu ketara dengan Aaron Ramsey membuka jaringan seawal minit kelima perlawanan untuk menyentap semangat pelawat yang kini berada di pertengahan liga namun Stoke City cuba kembali menghidupkan saingan apabila rembatan Geoff Cameron di luar kotak penalti pada minit ke-26 menewaskan Wojciech Szczesny di gawang Gunners.
Arsenal bagaimanapun tidak berputus-asa apabila tenang menguasai permainan dengan corak permainan pantas namun tidak berhasil sehinggalah pemain pertahanan Per Mertesacker (gambar kiri) melonjak tinggi untuk menyempurnakan sepakan penjuru bekas pemain Real Madrid Mesut Ozil pada minit ke-36 untuk memastikan kelebihan 2-1 menuju penghujung separuh masa pertama.
Gunners meneruskan penguasaan dengan Ozil turut mendapat peluang pada minit ke-62 namun rembatan leretnya berjaya diselamatkan penjaga gol namun pemain Jerman itu membuktikan kepakarannya dalam situasi sepakan percuma atau penjuru.
Hantarannya menerusi sepakan percuma sekali lagi membolehkan Arsenal menambah gol ketiga dengan tandukan Bacary Sagna pada minit ke-72 menggegar jaring skuad kendalian Mark Hughes yang jelas kecewa dengan prestasi tidak konsisten anak buahnya dan hanya menang dua daripada lima perlawanan liga.
Mereka cuba menggandakan serangan untuk menambah jaringan namun gagal memecahkan benteng pertahanan tuan rumah yang ampuh bertahan untuk mencatatkan kemenangan 3-1.
Ia adalah kemenangan keempat Gunners selepas mengharungi lima perlawanan liga sekali gus menyaksikan mereka mengumpul 12 mata manakala Stoke City kekal di pertengahan saingan dengan tujuh mata.
0 comments:
Post a Comment