Kerana jelingan, seorang pemuda lembik dibelasah dua lelaki menyebabkan dia cedera di muka dan kepala dalam kejadian di belakang sebuah bangunan di Jalan Kingsway, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa lingkungan 20-an dikatakan sedang meneguk minuman keras bersama beberapa rakan sejak seawal jam 9 pagi di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, tindakannya yang asyik memerhati dua lelaki yang turut berada di kawasan berhampiran mencetuskan kemarahan sekali gus menyebabkan dia dibelasah oleh suspek yang dipercayai turut berada di bawah pengaruh alkohol.
Sumber berkata, rakan mangsa hanya melihat dua lelaki itu membelasahnya dan tidak cuba membantu berikutan masing-masing turut mabuk.
“Melihat keadaan mangsa yang tidak bermaya serta berlumuran darah, dua lelaki itu melarikan diri sebelum orang awam yang menemui mangsa menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan.
“Akibat kejadian itu, mangsa lebam di mata serta cedera di muka dan kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, punca kejadian masih disiasat, tetapi tidak menolak ia mungkin disebabkan salah faham antara mangsa dan dua lelaki terbabit akibat jelingan itu.
0 comments:
Post a Comment