Almeida  tekad  hadiah  T-Team    Piala Malaysia 
  Pemain T-Team, Damic Ibric (kanan) berebut bola dengan pemain FELDA United, Rudie Ramli pada perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya, bulan lalu. Gambar kecil, Eduardo Almeida. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kuala Terengganu: Eduardo Almeida berazam membawa T-Team mencipta kejutan dan mengucup Piala Malaysia, namun kedudukannya sebagai pengendali pasukan belum ditentukan lagi.

Kontrak ketua jurulatih dan pengarah teknikal Akademi Bola Sepak Titans Muda itu bersama T-Team berakhir selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Terengganu baru-baru ini.
Jurulatih berasal dari Portugal berkata, dia belum menerima keputusan sama ada akan kekal melatih pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia kerana beliau difahamkan tugas membimbing mahu diserahkan kepada penolong jurulatih, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor.


Beri kepercayaan

“Saya dimaklumkan keputusan membimbing pasukan ini akan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah dalam tempoh terdekat. Saya harap pihak pengurusan terus memberi kepercayaan kepada saya selepas diberi tanggungjawab melatih pasukan dalam empat perlawanan terakhir Liga Super.

“Saya percaya dan yakin pasukan ini mampu membuat kejutan dalam Piala Malaysia. Saya bercita-cita mahu menjulang piala itu bersama T-Team," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sejak membimbing pasukan itu dalam empat perlawanan Liga Super, T-Team menewaskan FELDA United (4-0) dan Negeri Sembilan (2-1), tumpas kepada Selangor 1-3 dan seri 2-2 dengan Terengganu.