translate

pengunjung

Powered by Blogger.
RSS

Kontroversi bukan selamanya


Dua penyanyi ini pernah dikecam kerana penampilan berani ketika menjayakan persembahan di majlis tertutup. Alasan mereka, atas dasar profesionalisme (cari makan) sebagai penyanyi dan ia sesuai dengan persekitaran untuk majlis makan malam korporat.
Bagi Leina Hangat, mungkin penampilan beraninya ketika menjayakan persembahan pada Disember 2011 bukan sesuatu yang mengejutkan kerana memang sudah dikenali dengan imej begitu sejak dulu lagi. Ia disifatkan keterlaluan kerana Leina bukan setakat tampil seksi tapi aksi beraninya menari dengan penonton. 
Deja Moss pula agak mengejutkan apabila tampil berani dalam satu persembahan di majlis tertutup pada Disember 2006. Bukan saja kerana Deja jarang tampil begitu, tetapi teruk dikecam kerana masyarakat tahu gelaran hajah yang disandang Deja atau nama sebenarnya, Sharifah Hadijah Wan Moss. 

Tapi itu dulu, Alhamdulillah Deja dan Leina mendapat hidayah apabila kini bertudung. Selepas melalui pelbagai kontroversi dan dugaan dalam hidup, nyata suatu hari pintu hati mereka terbuka untuk berubah.

Bagi Leina, hidayah itu diterima ketika usia mencecah 40 tahun. Dia pernah berkahwin dengan lelaki Perancis pada 2002 tetapi bercerai pada 2008.

Pernah melalui situasi ditinggal suami lebih empat tahun tanpa nafkah zahir dan batin, dipukul serta suami ada wanita lain tetapi diberi peluang untuk hidup bahagia apabila bertemu jodoh dengan Mohd Zaipul Bahri Ghazali pada 8 Mac 2009 dan mempunyai cahayamata, Qayyum, 2. 

Semoga hidup Leina terus bahagia bersama suami dan anak dalam meniti kehidupan ‘baru’ yang lebih bermakna. Penampilan dulu tinggal sejarah dan tidak perlu diungkit lagi. 

Memetik kenyataan Leina dalam satu portal hiburan, Leina mengatakan tidak mahu melihat gambar lamanya yang seksi. Katanya, jika orang masih bercakap mengenai gambar seksinya, biarlah kerana itu zaman jahiliahnya dan kini mahu jadikan ia sebagai renungan untuk menjadi lebih baik. 

“Semua yang terjadi dalam hidup kita ada hikmahnya, saya tak kisah orang anggap saya tidak sempurna, asalkan saya cuba jadi yang terbaik demi Allah,” katanya. 

Mereka insan bertuah diberi hidayah. Ada yang menerima ujian dan dugaan tetapi terus leka dengan kejahilan. Semuanya bergantung kepada diri kita yang diberi akal untuk melihat apa yang berlaku dari sudut positif dengan bermuhasabah diri dan berazam untuk berubah ke arah lebih baik. 

Bagi Leina, perubahan dirinya bermula apabila berminat mengikuti kelas agama pada Ogos lalu dan mengenali rakan-rakan yang sama-sama mencari ilmu hingga terbuka pintu hati untuk berubah. 

Deja pula bertudung sejak setahun lalu atas galakan suami. Semoga hidup Deja dan suami, Azfendy Datuk Azzuddin Ahmad terus bahagia dan dilimpahi rezeki. Siapa tahu, doa dan harapan mereka untuk mempunyai anak dimakbulkan, sekaligus menyerikan lagi rumahtangga yang dibina sejak 30 Ogos 2008. 

Makin ramai artis berhijrah dan terbuka pintu hati menjadi umat Islam sebenar. Semoga ia membuka mata artis lain yang masih mencari-cari cahaya. Ada yang diuji dan diduga dengan macam-macam tetapi masih belum terbuka mata dan hati untuk berubah. 

Ada artis yang dikurniakan bakat dan populariti tetapi kehidupannya dilihat serba tidak kena. Satu demi satu ujian menimpa. Contohnya, pelakon berbakat, Nabila Huda, 29. Sejak remaja hinggalah melangkah gerbang perkahwinan dan menjadi ibu, dia terus jadi bahan berita sensasi. 

Apa yang menimba Nabila akhir-akhir ini membuatkan ramai yang kasihan padanya. Mana tidaknya, sejak berita kemalangan menimpanya bersama anak, Keisha, 4, pada 8 September lalu, pelbagai cerita dirinya menjadi perhatian umum. 

Satu demi satu cerita seperti sengaja dicari dan dikorek. Bermula dengan berita dirinya dipersalahkan bekas suami kerana membawa anak ke tempat kerja, timbul pula cerita ayahnya kecil hati kerana Nabila tidak pulang beraya dengannya sebaliknya memilih untuk bersama keluarga kawannya di Singapura. 

Nabila membalas mengatakan ada sebab berbuat demikian kerana dalam dilema memilih untuk menyambutnya bersama ibu kandung di Klang atau bapanya hingga memilih untuk beraya di rumah kawannya. 

Tidak cukup dengan luahan itu, dalam satu kenyataan, Amy menyifatkan kemalangan yang menimpa Nabila sebagai ‘petunjuk kecil dari Allah SWT’ tetapi Nabila membalas dengan mengatakan ‘empat jari menunjuk diri sendiri’. 

Cerita dalam kain anak beranak ini dibuka satu demi satu apabila masing-masing buka mulut. Tidak hanya bapanya malah ibu tirinya dan terbaru, rakan baik dikatakan menjauhkan diri kerana Nabila sudah jauh berubah. 

Segala cerita yang dipaparkan itu tentunya mengguris hati Nabila. Biar pun dia dilihat begitu tegas dan tabah, namun dalam hatinya kita tidak tahu. Hakikatnya, siapa yang tidak terguris apabila segala yang dilakukan menjadi bahan untuk diperkatakan. 

Ia ibarat apa saja yang dilakukan serba tidak kena. Pakai baju seksi di acara permaidani merah, dikecam hebat. Aksinya ketika berada di Makkah juga menjadi bualan, begitu juga gambarnya dengan pakaian sangat ringkas ketika bercuti di luar negara juga jadi bahan berita. 

Semoga Nabila mengambil iktibar dari apa yang berlaku. Tidak salah untuknya memikirkan kembali kata-kata bapanya mengenai ‘petunjuk kecil dari Allah SWT’. 

Saling menuding jari kepada orang lain bukan jalan penyelesaiannya, berbalas kenyataan menerusi media (orang ketiga) juga bukan cara bijak. Jika ada masalah dengan keluarga, selesaikan segera dan elakkan berbalas kenyataan kerana makin banyak kita bercakap, makin banyak cerita tidak elok yang akan keluar dan terdedah kepada umum. 

Semoga Nabila bertemu kebahagiaan yang dicari dan mungkin apabila melangkah usia 30 tahun tidak lama lagi memberi sinar baru dalam hidupnya. Bertemu lelaki yang benar-benar sayangkan dan menghargai dirinya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blogger news

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archives

Followers

Popular Posts